Jubah Cina untuk Raya Aidilfitri?? Melayu makin layu

Nampaknya melayu sekarang makin advance sehingga hari kebesaran seperti Aidilfitri pun sudah mula dicampur adukkan dengan budaya luar.

Kalau sebelum ni korang disajikan dengan jubah sado yang ketat untuk lelaki pakai di hari raya, yang latest pulak ialah Jubah IP-Man yang diadaptasikan dari filem kungfu cina.

Dah habis idea ke bani melayu tu semua nak cari rezeki berniaga sampaikan sanggup ketepikan budaya serta tradisi sendiri beb?

Dah tak cantik ke baju melayu ataupun paling kurang jubah melayu yang bercirikan arab? Nak tambah pulak suruh anak-anak melayu pakai jubah cina di hari raya? Apa lah mangkuk betul pemikiran peniaga zaman sekarang ni?

Lepas ni apa pulak? Jubah untuk hari raya versi kurta pulak ke? Tak pun Jubah raya versi Kpop???

Malu beb.. Korang pernah tengok ke kaum cina pakai baju melayu di hari perayaan dorang? Ataupun orang India cuba pakai fesyen orang Islam semasa perayaan Deepavali? Tak ada kannn..

Itu maknanya generasi melayu-melayu sekarang makin tiga suku. Dorang lebih teruja ikut budaya asing berbanding budaya tradisi sendiri.

Sebab tu ramai je korang tengok anak-anak dara sekarang terkinja-kinja ber’KPOP’ bagai.. Sekarang ni budak lelaki pulak yang gila berfesyen sampai tak sedar diri.

Tak tahulah nak cakap.. Nak kata tak cerdik tapi ramai je yang ada diploma dan degree bagai.. Tapi itulah.., susah nak faham sebenarnya apa yang tak cukup lagi. Haihh.

Advertisements

Kuala Lumpur International Hotel raikan Darling dan peminat.

Jika masih ingat rancangan Idola Kecil, pada tahun 2012 adik Wan Azlyn atau dikenali sebagai Darling yang kini telah berusia 16 tahun, beliau telah diraikan oleh pihak KL International (KLI) hotel untuk meluangkan masa bersama peminatnya.

Di dalam satu majlis yang sangat meriah ini bukan saja satu peluang untuk Darling bertemu peminatnya, beliau juga telah mengambil kesempatan menghiburkan mereka dengan lagu popularnya berjudul ‘Takkan Ada’ dari single pertamanya.

Menurut Eksekutif Jualan dan Pemasaran KLI, Siti Aishah Yahaya, pihak hotel telah diberi peluang sebagai penganjur untuk memberi sokongan kepada bakat bintang baru ini di mana seharusnya diteruskan minat dan membina kerjayanya di dalam bidang seni.

Penyanyi berbakat besar yang berasal dari Kedah itu sebelum ini tampil dengan lagu duet bersama kumpulan Viral ciptaan komposer, DJ Fuzz. Walaupun masih lagi bergelar pelajar di Sekolah Menengah Chio Min, Kulim, Kedah, Darling berkebolehan menyanyi dalam 10 bahasa berbeza termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Kantonis, Hokkian, Hindi, Thailand, Jepun, Korea dan Arab.

Pelbagai acara telah dianjurkan KLI untuk Darling dan di antaranya termasuk cabutan bertuah dan sesi beramah mesra. Rata-rata yang telah hadir ibarat sebagai sebuah keluarga walaupun tiada pertalian keluarga dan di atas sikap mereka yang mesra dan sangat ‘sporting’, setiap acara yang disediakan pihak KLI hotel pasti akan disertai mereka dan suasana riang pasti dirasakan.

Perjumpaan dengan peminat seumpama ini akan dilanjutkan ke negeri kelahiran Darling di Kedah di dalam masa terdekat nanti.

Darling berasa sungguh berpuas hati dan gembira dengan penganjuran majlis oleh KLI hotel dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana sudi dan bermurah hati menaja majlis perjumpaan dengan peminatnya. -SuaraTV

Peserta Jepun buktikan kehebatan berpidato dalam Bahasa Melayu.

Peserta dari Jepun, Hatsune Yanai, 21, dinobatkan juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2016 kategori Antarabangsa, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Hatsune Yanai, memilih tajuk pidato ‘Ilmu Keamanan Yang Seimbang Kunci Kebahagiaan Manusia’ berjaya menambat hati para juri sekali gus menewaskan dua pesaing terdekat dalam pertandingan akhir semalam.

Sementara itu, Wang Jialu Aleeya, 20, dari China hanya berpuas hati dengan gelaran naib johan manakala Megan Rose Donelly, 27, dari Amerika Syarikat diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga bagi kategori yang sama.

Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut merasmikan pertandingan tersebut.

Dalam pada itu, wakil Malaysia, , Muhamad Haziq Jamaludin, 23, yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara bagi kategori Alam Melayu menerusi tajuk pidato ‘Rahsia Keamanan’.

Kemenangan itu sekali gus menewaskan rakan senegara, Irfan Mohamad Fairus, 21, yang diumumkan sebagai naib johan dan Muhammad Sa’mae, 19, dari Thailand (tempat ketiga).

Abdalla Hassan Gharib, 36, dari Tanzania pula diumumkan juara kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (Pam) diikuti Nasear Slayman, 31, dari Kemboja (naib johan) dan Anas Mohamad Husian Kassim, 26, dari Iraq di tempat ketiga.

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, piala Perdana Menteri, piala dan hadiah iringan serta sijil.
Naib johan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 (piala dan hadiah iringan serta sijil) manakala tempat ketiga menerima RM8,000 (piala dan hadiah iringan serta sijil).

Seramai 47 peserta dari 34 buah negara mengambil bahagian dalam pertandingan PABM Piala Perdana Menteri 2016 yang bermula Isnin lalu, namun hanya sembilan peserta yang layak ke peringkat akhir.

Pertandingan PABM peringkat akhir diadili oleh tujuh juri profesional terdiri daripada tokoh dan pakar bahasa itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV2. – UTUSAN

Pidato Piala Perdana Menteri tampilkan penguasaan B.Melayu tahap tinggi.

Semua 20 peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2016 bagi kategori Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia yang terpilih ke suku akhir berjaya menampilkan penguasaan bahasa Melayu pada tahap tinggi.

Penyelaras Teknikal dan Penghakiman PABM 2016, Dr. Mazleena Mohamad Hussain berkata, sedangkan pada penganjuran edisi lalu, tahap penguasaan tersebut hanya dapat dilihat pada peserta kategori Alam Melayu.

Katanya, pada edisi kali ini, kesemua peserta yang dipilih berjaya menarik perhatian tiga juri yang terdiri daripada wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan mereka yang berpengalaman dalam pertandingan pidato peringkat universiti.

“Kali ini kami mendapati kesemua peserta berjaya menguasai bahasa tersebut dengan baik. Saya yakin persaingan PABM kali ini akan lebih sengit dan para juri perlu menilai isi kandungan serta penggunaan bahasa setiap peserta dengan lebih teliti.

“Perkara paling penting adalah fakta yang diketengahkan dalam setiap pemidato perlu tepat dan bukan rekaan semata-mata selain memastikan penggunaan bahasa Melayu Malaysia, bukan dari negara jiran,” katanya.

Keseluruhannya seramai 47 peserta mengambil bahagian dalam PABM 2016 yang memasuki edisi ke-10 dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu, Antarabangsa, Pelajar Antarabangsa di Malaysia dan Alam Melayu.

PABM 2016 bermula semalam dengan persaingan pusingan awal manakala hari ini telah berlangsung saingan suku akhir dan akan diikuti separuh akhir pada Rabu manakala malam kemuncak iaitu pertandingan akhir pada Jumaat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Lima peserta kategori Alam Melayu dari empat buah negara iaitu Malaysia, Thailand, Brunei dan Singapura secara automatik layak ke peringkat separuh akhir.

PABM 2016 merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama DBP, Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (Makum).

Pertandingan tahun ini bertemakan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu telah menetapkan 12 tema tajuk antaranya Yang Tua Dikasihi, Yang Muda Disayangi dan Kesaksamaan gender. – Utusan