POTONG TANGAN, REJAM DAN SEBAT DI BRUNEI.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menyuarakan kemurkaan dan mengarahkan pengguna media sosial berhenti mengkritik rancangan beliau untuk memperkenalkan undang-undang syariah di negara itu.

Hassanal, salah seorang individu terkaya dunia pada, Oktober lalu mengumumkan bahawa Brunei akan melaksanakan undang-undang syariah seperti sebatan, pemotongan anggota badan serta hukuman rejam sampai mati mulai 1 April ini.

Tindakan itu mencetuskan kritikan daripada media sosial, satu-satunya kaedah rungutan awam membabitkan pihak berkuasa negara itu dengan tindakan mempersoalkan Sultan dielakkan.

Dalam titah ucapan hujung minggu lalu, Hassanal memberi amaran keras kepada pengkritik beliau.

“Mereka tidak boleh dibenarkan melakukan penghinaan ini tetapi jika ada elemen yang membolehkan mereka dibawa ke mahkamah, mereka akan menjadi yang pertama merasai pelaksanaan Perintah Kanun Keseksaan Syariah pada April,” katanya menurut salinan ucapan yang diterbitkan media kerajaan.

Beliau tidak memperincikan bagaimana pengguna media sosial boleh didakwa di bawah undang-undang Islam itu. Sultan kekal sebagai individu amat dihormati di negara 400,000 penduduk itu yang menikmati taraf hidup tertinggi di Asia.

Bagaimanapun, beberapa minggu lalu perdebatan internet berlaku membabitkan penyokong undang-undang berkenaan dan mereka yang amat bimbangkan pelaksanaannya.

“Amat menakutkan untuk memikirkan kami mungkin direjam dengan batu sehingga mati kerana menyintai atau didenda kerana meminati sesama jantina dan pakaian kami turut dikawal,” kata satu kiriman internet.

Brunei mempunyai penggunaan dan kadar penembusan media sosial terbesar dunia. Undang-undang syariah memperuntukkan hukuman mati kepada zina, potong tangan kerana mencuri serta sebatan dalam kesalahan seperti pengguguran, minum arak dan homoseks.

Negara itu melaksanakan ajaran Islam konservatif berbanding jiran Islamnya, iaitu Malaysia dan Indonesia dengan mengharamkan jualan arak dan mengehadkan agama lain.

Ia juga mempunyai dua sistem perundangan, iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang mengendalikan kes perkahwinan, pewarisan harta dan banyak isu kecil lain. – AFP

JANGAN BAGI MCA JAWATAN KALAU KALAH DI N25 KAJANG !!! @najibrazak

Semalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA meluluskan resolusi untuk parti itu kembali menerima jawatan dalam kabinet. Bagi saya, EGM yang diadakan itu bukan lagi “luar biasa” kerana MCA berulang kali mengadakan EGM semata-mata nak putuskan sama nak ambil jawatan dalam kabinet ataupun tidak selepas prestasi buruk mereka dalam PRU13 lalu.

Sebelum PRU13, sebagai pertaruhan untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada mereka, MCA berjanji tidak akan menerima sebarang jawatan kabinet andainya gagal mempertahankan prestasi mereka dalam PRU12. Dalam PRU12, MCA memenangi 15 kerusi Parlimen dan malangnya dalam PRU13 mereka hanya mampu memenangi 7 kerusi.

Presiden MCA ketika itu, Dr Chua Soi Lek bertegas untuk menolak sebarang jawatan kabinet demi untuk memegang janji mereka. Namun mungkin kerana terasa “bahang” beberapa bulan tiada kedudukan dalam kerajaan, MCA mengadakan EGM untuk menerima semula jawatan kabinet.

Perwakilan MCA yang ketika itu di bawah pimpinan Chua Soi Lek, kekal dengan pendirian untuk menolak usul menerima jawatan kabinet dalam EGM Oktober tahun lalu. Semalam, baru empat bulan selepas menolak jawatan dalam EGM, lain ceritanya apabila perwakilan di bawah Liow Tiong Lai menerima usul untuk kembali ke kabinet dengan undi yang besar.

Saya melihat, desakan untuk MCA kembali ke dalam kabinet didorong oleh golongan kapitalis yang berasa “tidak selesa” apabila tiada wakil mereka dalam kerajaan. Tiada wakil bermakna sukar untuk mendapat sokongan projek.

Saya berpendirian PM selaku ketua kerajaan dan ketua BN wajar melihat keputusan PRK Kajang sebagai kata pemutus untuk memberikan jawatan kabinet kepada MCA ataupun tidak. Walaupun sebelum ini PM sendiri mempelawa MCA menyertai kabinet namun parti berkenaan perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa sokongan masyarakat Cina telah kembali kepada mereka.

PM perlu berani untuk mengambil ketetapan baru bahawa jawatan kabinet hanya akan diberikan sekiranya BN yakni MCA menang di Kajang. Ketetapan ini perlu dibuat agar ia menjadi ingatan kepada setiap parti komponen untuk bekerja lebih kuat dalam memenangi hati pengundi. – NotaKanan

[TERKINI] KARPAL DIDAPATI BERSALAH HINA SULTAN PERAK. PRK LAGI?

Peguam veteran Karpal Singh hari ini didapati bersalah mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan terhadap Sultan Perak semasa krisis Perlembagaan pada 2009.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Peguam Gobind Singh Deo memohon mahkamah agar menangguhkan hukuman bagi membolehkan mereka menyediakan rayuan agar hukuman yang ringan dikenakan.

“Kami memerlukan laporan perubatan untuk menyokong kes kami,” katanya.

Karpal, 73, terpaksa menggunakan kerusi roda ekoran kemalangan jalan raya pada January 2005.

Azman kemudiannya menetapkan hukuman akan dijatuhkan pada 7 Mac.

Karpal yang kelihatan sabar memberitahu wartawan kemudiannya, beliau menerima hukuman itu dan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dalam masa 14 hari.

Pasukan peguam Karpal menggesa Azman menangguhkan hukuman ke hari lain bagi mereka menyediakan mitigasi untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan.

Karpal, 73, yang juga pengerusi DAP, juga berisiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen kerana kesalahan itu membawa sehingga denda berjumlah RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, wakil rakyat akan hilang kelayakan bagi jawatan itu jika didenda melebihi RM2,000 atau penjara melebihi tempoh setahun.

Turut hadir di dalam bilik mahkamah yang penuh sesak itu adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Karpal menyertai senarai pemimpin DAP yang disabitkan di bawah undang-undang zalim yang sifatkan oleh pengkritik direka untuk menyekat perbezaan pendapat.

Mendiang Dr Ooi Kee Saik, bekas ketua DAP Pulau Pinang, adalah individu pertama yang mengalaminya pada 1970, diikuti mendiang Fan Yew Teng, ahli Parlimen Kampar yang juga pemangku setiausaha agung DAP, pada 1975.

Lim Guan Eng didapati bersalah atas kesalahan yang sama pada 1998 dan dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan. Beliau kembali ke arena politik negara pada 2004.

Karpal dikatakan melakukan kesalahan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur pada 6 Februari 2009.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu didakwa berkata bahawa penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak oleh Sultan Azlan Shah boleh dipersoalkan di mahkamah undang-undang .

Karpal memberi hujah pembelaan bahawa apa yang dikatakan adalah pendapat undang-undang dan tidak menjadi ancaman kepada Sultan, yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara sebelum itu.

Pasukan pembelaannya juga menyatakan pertuduhan dirangka dengan niat jahat kerana ada orang lain yang membuat kenyataan berunsur hasutan lebih teruk tetapi tiada tindakan diambil

ANWAR GELABAH BILA RAJA PETRA MAIN BELAKANG.

Anwar Ibrahim hari ini menafikan laporan media kononnya Menteri Besar Selangor mengakui wujudnya pembaziran dalam pengurusan kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) seperti yang didakwa blogger kontroversi, Raja Petra Kamarudin.

Kata beliau, seperti yang difahamkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya memberitahu bahawa kerajaan negeri ketika ini sedang memperbaiki masalah itu dengan menjalankan beberapa kajian.

“Tan Sri Khalid hanya menyebut akan melakukan penyelidikan atau kajian dan tugaskan beberapa staff untuk selenggarakan, saya tidak fikir dia buat kenyataan lebih dari itu,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Anwar juga menjelaskan dakwaan Raja Petra itu tiada kaitan dengan pemberhentian 22 pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB).

“Saya dimaklumkan, dan dia memang maklumkan tentang perkara itu. Kalau dikaitkan dengan pemberhentian pekerja, saya juga telah jumpa beberapa wakil mereka. Dan telah saya buat beberapa kenyataan dan maklumkan kepada Tan Sri Khalid,” kata beliau lagi.

Antarapos semalam melaporkan Khalid mengakui wujudnya pembaziran dalam pengurusan kewangan PKNS seperti yang didakwa blogger kontroversi, Raja Petra.

Menjelaskan perkara itu beliau berkata, apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan negeri ketika ini adalah memperbaiki perkara tersebut dan meningkatkan kecekapan pengurusan.

“Boleh jadi Raja Petra dapat maklumat dari pegawai PKNS sendiri yang tak sukakan perkara itu berlaku..

“Satu perkara yang jelas di sini apabila kita PR melaksanakan polisi transparensi, ketelusan dan kebertanggungjawapan, perkara ini akan berlaku,” katanya.

Terdahulu Raja Petra Kamaruddin dalam blognya mendakwa kerajaan negeri membayar “gaji buta” bernilai jutaan ringgit kepada kakitangan PKNS.

Bekas Pengurus Besar PKNS Othman Omar menikmati gaji bulanan RM45,000 sebulan manakala Faridah Rohani Rais diberi imbuhan RM7,000 dan tambahan RM1,000 sejam untuk menulis ucapan-ucapan majikannya itu.

Pada masa sama PKNS juga menggaji khidmat perunding Kriss Consultant Communications untuk menulis ucapan-ucapan berkenaan. – AntaraPos.